Ernst & Young (E&Y) terus kebal mengekalkan rekod tanpa kalah sebanyak lima perlawanan berturut-turut Divisyen 1 Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila menundukkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.
Jaringan cantik Mohamad Sukri Abdul Jalil pada minit ke-58 membolehkan E&Y menamatkan pusingan pertama LHM dengan pencapaian cemerlang.
Dua lagi jaringan E&Y disumbangkan oleh Baljit Singh minit ke-19 dan Ismail Abu minit ke-42, manakala gol TNB dihasilkan oleh Mohd. Fairuz Ramli minit kelima serta Muhamad Amin Rahim minit ke-23.
Jurulatih E&Y, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, dia begitu berpuas hati dengan persembahan anak didiknya yang tidak panik meskipun ketinggalan 0-1 pada awal perlawanan.
"Kami bermain baik hari ini, walaupun ada beberapa pemain agak gugup kerana bertemu TNB yang mempunyai prestasi yang membanggakan musim ini.
"Apa-apa pun, E&Y berjaya memperoleh mata penuh yang sangat diperlukan untuk memberi kelegaan dan ketenangan kepada pasukan kerana akan bersaing di Kejuaraan Kelab-Kelab Asia Khamis depan," katanya di sini, semalam.
Pada pertemuan Khamis ini, E&Y akan bertemu Remaja Kebangsaan, sebelum menentang kelab dari Thailand, Tentera Udara Diraja Thailand (Sabtu).
Sementara itu, jurulatih TNB, Lailin Abu Hassan berkata, dia tidak kecewa dengan kekalahan kepada E&Y semalam, sebaliknya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu.
Katanya, pemain-pemain TNB berjaya mempamerkan persembahan bertenaga untuk memberi saingan kepada E&Y pada pertemuan sengit itu dan melaksanakan strategi yang telah dirancang.
Jelasnya, TNB hanya tidak bernasib baik dan banyak percubaan berbahaya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan.
Sementara itu, dua lagi perlawanan Divisyen 1 menyaksikan Maybank mencatat kemenangan 5-2 ke atas Nur Insafi di Stadium Hoki Seremban, manakala Sapura seri 4-4 dengan Remaja Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Friday, November 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment