KUALA LUMPUR - Skuad hoki negara membuka kempen Trofi Juara-Juara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan menentang juara Olimpik, Australia pada 29 November ini.
Ini akan diikuti perlawanan kedua menentang juara bertahan, Belanda pada 30 November ini sebelum menentang juara dunia, Jerman pada 6 Disember ini.
Sebagai pasukan yang menyertai pertandingan ini atas tiket sebagai tuan rumah `bidan terjun’, skuad muda Malaysia yang dibimbing Sarjit Singh pastinya menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Olimpik pada April tahun depan.
“Kita akan turun sebagai pasukan underdog memandangkan tujuh pasukan lain yang menyertainya adalah yang terbaik di dunia ketika ini.
“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran kerana kita perlu realistik memandangkan Malaysia berada pada ranking ke-13 dunia ketika ini.
“Cuma matlamat kita adalah ambil bahagian dan mempamerkan persembahan terbaik untuk menyaingi pasukan handalan dunia,” kata Presiden PHM, Tan Sri Anwar Mohd. Nor, semalam.
Menurutnya, Malaysia akan turun berbekalkan reputasi sebagai finalis Piala Sultan Azlan Shah dan tempat ketiga Piala Asia.
“Ini adalah pendedahan terbaik kepada pemain muda kita untuk bermain dengan pemain dan pasukan terbaik dunia,” tegasnya.
Sementara itu, Sarjit berkata, barisan pemain skuad negara akan diumumkan tidak lama lagi kerana ketika ini pemilihan masih dijalankan.
“Kita ada 30 pemain untuk menghadapi Trofi Juara-Juara ini. Hanya 18 pemain akan disenaraikan,” tegasnya.
Selain Malaysia, tujuh negara yang layak secara merit menyertai trofi juara-juara ini adalah Belanda, Australia, Jerman, Korea Selatan, Pakistan, Sepanyol dan England.
Tuesday, November 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment