Wednesday, November 14, 2007

Johor sedia jadi tuan rumah

Johor bersedia untuk menggalas tanggungjawab menjadi tuan rumah bersama Singapura untuk Kejohanan Piala Dunia Hoki Bawah 19 pada tahun 2009.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, buat ketika ini, kerja-kerja pembinaan stadium hoki yang baru di Taman Daya sedang berjalan lancar.

Katanya lagi, pihaknya turut merancang untuk membina sebuah stadium hoki baru dengan kapasiti 5,000 penonton di Padang Sri Gelam bagi menjayakan kejohanan yang akan berlangsung dua tahun lagi itu.

“Kami akan membangunkan stadium yang lebih lengkap sebagaimana Stadium Hoki Azlan Shah di Ipoh.

“Padangnya juga akan lebih berkualiti dengan ia mirip kepada padang hoki astroturf di Australia,” katanya pada sidang akhbar di Jamuan Aidilfitri anjuran Danga Bay Sdn. Bhd. di Teluk Danga di sini semalam.

Menurut Abdul Ghani, peruntukan bagi pembinaan stadium hoki di Taman Daya yang dijangka selesai tahun hadapan itu mendapat pembiayaan daripada syarikat pemaju yang kini mengambil alih Stadium Hoki Majlis Bandaraya Johor Bahru di Jalan Tun Razak.

No comments: