SINARAN Sukan Olimpik Beijing 2008 mula terbayang di mata skuad hoki kebangsaan selepas meraih pingat gangsa pada Kejohanan Piala Asia ke-7 di Chennai, India yang menjadi pembakar semangat menjelang kempen kelayakan bermula April depan.
Apa yang membanggakan, kejayaan itu ialah yang kedua untuk pasukan kendalian Sarjit Singh bermula muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah, Mei lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 22 tahun untuk beraksi di pentas final.
Malaysia tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan pada peringkat separuh akhir di Chennai sebelum membelasah Jepun, 5-3 dalam penentuan tempat ke-3/4 selain mencipta sejarah mendominasi saingan Kumpulan A yang turut membabitkan aksi gergasi Asia, Pakistan.
Pemain berpengalaman negara, Chua Boon Huat, sendiri mengakui dia optimis mengenai peluang Malaysia layak ke temasya sukan terbesar dunia itu berdasarkan peningkatan prestasi dipamerkan skuad adunan muka baru dan lama itu pada dua kejohanan utama dalam kalendar hoki dunia.
"Pemain menunjukkan peningkatan yang ketara di India berbanding ketika beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah. Bagi saya, ianya satu perkembangan sangat positif sebelum beraksi dalam perlawanan kelayakan Olimpik.
"Kita mencipta rekod baru dengan meraih kedudukan ketiga terbaik Asia di India dan nyaris layak ke final apabila tewas tipis kepada Korea. Saya harap peningkatan ini akan berterusan sebelum beraksi dalam kempen kelayakan," katanya.
"Mungkin kita akan mengetahui lawan perlawanan kelayakan pada akhir bulan depan. Tapi apa yang pasti, kami tidak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan sekalipun," katanya.
Mengulas mengenai keserasian skuad terbabit, Chua berkata, dia gembira dengan perkembangan positif aspek terbabit kerana rakan sepasukan terutama pemain muda, mula mengenali corak permainan masing-masing selain mengikut arahan jurulatih ketika beraksi.
"Permainan kian kemas berbanding Piala Sultan Azlan Shah dan saya harap perkara itu berterusan sebelum beraksi di Sukan Sea. Mungkin tiada masalah untuk meraih emas di Korat, tapi saya harap pemain meningkatkan keupayaan semasa kerana kita tidak dimaklumkan mengenai kejohanan lain sebelum kempen kelayakan bermula.
"Ada atau tidak bukan perkara besar kerana yang penting adalah kesedaran pemain untuk meningkatkan corak permainan. Kita meraih gangsa Piala Asia, jadi reputasi juga pasti turut meningkat," katanya.
Sekalipun sudah meraih dua kejayaan besar, namun dia tidak gemar untuk memikirkan soal ganjaran kerana apa yang penting adalah melaksanakan tanggungjawab yang sudah diamanahkan.
"Saya hanya melaksanakan tanggungjawab dan tidak mahu berfikir mengenainya. Soal dapat atau tidak, tidak penting kerana fokus saya ketika menyarung jersi Malaysia hanyalah mahu menjulang piala untuk negara," katanya.
Wednesday, September 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment