Jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh tidak sedikit pun terkilan apabila tiada seorang pun anak buahnya di antara 18 pemain Pilihan Terbaik Dunia yang dinilai oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 19 Disember lalu.
Dia sebaliknya memandang keputusan badan induk itu sebagai perangsang dan pengukur untuk skuad negara bekerja lebih keras apatah lagi dengan hanya menduduki ranking ke-14 dunia dan tercorot dalam Trofi Juara-Juara yang berakhir 9 Disember lalu.
‘‘Jika kita masih di luar kelompok 10 teratas dunia, mana mungkin ada pemain negara yang boleh dipilih sebagai antara terbaik oleh FIH. Kita hanya perlu bekerja lebih keras untuk mengubahnya,’’ katanya, semalam yang mula melatih skuad negara sejak Januari lalu kepada Utusan Malaysia.
FIH mengumumkan Pilihan 18 Terbaik Dunia yang kebanyakannya daripada skuad pemenang Trofi Juara-Juara dan juara dunia, Jerman; Belanda, Sepanyol, Australia dan New Zealand manakala hanya Asia cuma diwakili Dilip Tirkey (India), Jong Ho Seo (Korea Selatan) dan Dilawar Hussain (Pakistan).
Trofi Juara-Juara ke-29 di Kuala Lumpur merupakan pentas pemilihan terakhir FIH tetapi skuad negara hanya mampu mengutip satu mata setelah seri 2-2 dengan Pakistan selain dikalahkan Australia 2-0, Belanda 3-1, Great Britain 3-2, Korea Selatan 3-2, Jerman 3-2, Sepanyol 7-2 dan Pakistan 3-2 (penentuan tempat).
Namun, hakikat yang perlu diakui peminat hoki tempatan ialah peningkatan anak didik Sarjit selepas Malaysia kempunan sebarang pingat Sukan Asia Doha 2006 dengan bergelar naib juara Piala Sultan Azlan Shah, tempat ketiga Piala Asia dan memenangi emas Sukan SEA Korat.
Malah, Malaysia hanya layak menyertai Trofi Juara-Juara (kejohanan terpilih untuk enam pasukan elit mulanya) selaku tuan rumah selepas FIH mengambil kira keadaan keselamatan di Pakistan yang membimbangkan kebanyakan pasukan sehingga ada yang mahu menarik diri.
S. Selvaraju, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil, Shahrun Nabil Abdullah, Chua Boon Huat, Azlan Misron, Kevinder Singh dan S. Kumar merupakan antara tonggak negara yang tetap menyerlah dalam Trofi Juara-Juara dengan semangat juang tinggi dan kemampuan mengejar jurang jaringan menentang tujuh pasukan terbaik dunia.
Sementara itu, Sarjit ternyata tidak membuang masa dengan matlamat terbarunya - Kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Kakamigahara, Gifu, Jepun yang menempatkan kita dengan Jerman, Jepun, Poland dan Switzerland serta satu lagi pasukan bakal pengganti Czech yang menarik diri.
Hanya juara pusingan kelayakan dari 5 hingga 13 April ini bakal meraih tiket ke Beijing dengan Sarjit mengatur sehingga 22 perlawanan ujian untuk 32 anak buahnya termasuk dua tonggak senior yang dipanggil semula iaitu S. Kuhan dan Amin Rahim mulai Februari hingga Mac depan.
‘‘Siri ujian ini akan bermula selepas mereka menjalani kem latihan fizikal di Desaru, Johor dari 6 hingga 18 Januari manakala perlawanan yang diatur adalah dengan Trinidad & Tobago, Queensland dan New South Wales (Australia), Korea Selatan dan China,” katanya.
Tuesday, December 25, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment