Saturday, December 22, 2007

Jerman halangan utama hoki kita ke Olimpik 2008

Skuad hoki negara akan menempuhi beberapa perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara dalam usaha mempertingkatkan tahap prestasi sebelum menghadapi cabaran pusingan kelayakan Olimpik Beijing, di Jepun tahun depan.

Jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, ia melibatkan antara 15 dan 20 perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk melibatkan dua kelab dari Australia dan pasukan kebangsaan China serta Korea Selatan.

‘‘Pemilihan tiga kelab daripada negara tersebut adalah kerana kelab-kelab tersebut mempunyai pemain bertaraf antarabangsa.

‘‘Perlawanan itu bakal menjadi medan ujian kepada pasukan negara dan mengutip sebanyak mungkin pendedahan pada perlawanan tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, semalam pada sesi latihan pertama selepas berakhir Sukan SEA di Korat.

Katanya, pasukan hoki negara akan bertemu dua buah kelab dari Brisbane dan Sydney, Australia pada 3 Februari depan dengan melibatkan sebanyak 10 perlawanan persahabatan.

Beliau berkata, pasukan negara juga akan menerima kunjungan dari China dan Korea bermula 24 Februari hingga 7 Mac 2008.

Menurut Sarjit, hampir 12 perlawanan persahabatan akan dijalankan bagi menghadapi dua buah negara tersebut.

Menurut Sarjit, sebelum menanti perlawanan persahabatan tersebut, skuad hoki negara akan menjalani latihan fizikal di Desaru, Johor selama dua minggu.

Selepas itu katanya, beliau akan memberi penekanan kepada latihan fizikal dan ia dijangka mengambil masa hampir enam minggu.

Ditanya mengenai sasaran kelayakan di Olimpik Beijing, beliau berkata, pasukan negara menghadapi persaingan sengit kerana hanya satu pasukan sahaja yang akan dipilih untuk ke Olimpik daripada setiap kumpulan.

Katanya, pasukan negara tidak bernasib baik kerana diletakkan di bawah satu kumpulan dengan juara dunia, Jerman.

Selain itu katanya, Malaysia yang berada dalam satu kumpulan dengan tuan rumah bagi sesi kelayakan iaitu Jepun yang pasti memberi persaingan sengit kerana mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri di samping Poland dan Switzerland.

Jelasnya, biarpun telah berjaya menewaskan Jepun pada perlawanan sebelum ini pada Piala Asia di India dengan jaringan 2-0 dan 5-3, pasukan negara tidak boleh mendabik dada daripada keputusan tersebut.

No comments: